Cari ruang pejabat atau kedai untuk mula bisnes?

Bigger.my   •   JANUARI 1, 2020

Ruang pejabat untuk berniaga

SEBENARNYA tidak wujud jawapan asas bagi soalan apakah bentuk ruang pejabat atau kedai yang sempurna. Ini kerana premis yang anda mahukan itu sangat bergantung pada jenis bisnes.

Perkara sama juga terpakai kepada saiz ruang yang diperlukan bagi setiap pekerja anda kerana jika apa yang anda ingin cuma meja kecil dan sambungan telefon, cukuplah dengan saiz kecil.

Anda sebenarnya tidak perlu pun sebuah pejabat atau kedai agak besar, namun jika ia turut berfungsi sebagai ruang niaga misalnya tempat bertemu klien, maka baru ada keperluan khas.

Ini bermakna anda memang perlukan buat pelaburan dan bajet sedikit untuk wujudkan ruang ekstra berserta lokasi yang mudah diakses dan menarik. Berikut tip untuk pilih ruang sesuai:

1. SAIZ BERGANTUNG KEPERLUAN

Tiada standard ditetapkan bagi saiz ruang kerana segalanya bergantung kepada apa diperlukan bisnes anda kerana ada konsultan menasihatkan anda supaya menyediakan saiz tertentu.

Tetapi masih bukan mandatori untuk anda patuhi malah kadangkala bergantung kepada bajet anda, bagaimanapun, ada standard industri tertentu tentang ruang kerja atau premis komersial.

Misalnya, pusat khidmat pelanggan memerlukan ruang kerja dalam 6 hingga 7 meter persegi bagi seorang pekerja, namun firma perkhidmatan profesional mungkin memerlukan ruang lebih.

Ada berkeluasan antara 10 hingga 12 meter persegi sebagai tempat konsultansi khas bersama dengan klien atas faktor keselesaan dan mungkin jaga kerahsiaan perbincangan yang sensitif

2. AMBIL KIRA RUANG DIGUNAKAN

Sangat penting untuk anda mengambil kira secara teliti berapa banyak ruang yang betul-betul wajar digunakan kerana semua itu ada kesan langsung dengan bentuk sesebuah bangunan.

Ada banyak perkara yang beri kesan besar kepada kecekapan ruang antaranya reka bentuk bangunan, lokasi lif dan tangga keluar masuk ditempatkan, serta jumlah ruang legar atau lobi.

Semuanya itu memberikan perbezaan kepada produktiviti kerja waima ia bergantung kepada bagaimana struktur satu-satu aras tersebut ditetapkan oleh pemaju bangunan berkenaan.

Ada usahawan lebih selesa sewa rumah kedai atau rumah pejabat berteres kerana faktor sewa rendah tetapi ada pilih banglo, apartmen servis atau kompleks beli belah sebab lokasi menarik.

3. RUANG PERNIAGAAN IDEAL

Pejabat atau kedai yang ideal mempunyai ruang legar dalam nisbah 85:15. Jika kurang daripada 85 peratus, anda kebiasaannya sukar untuk menggunakan ruang kerja dengan lebih cekap.

Bagaimanapun jika mahu meminimumkan jumlah ruang yang diperlukan untuk jimat kos tenaga elektrik, anda boleh sahaja melaksanakan polisi meja dan perabot dikongsi secara optimum.

Misalnya, jika anda memiliki 50 pekerja, itu tidak bermakna anda perlu sediakan 50 meja setiap seorang kerana anda sepatutnya memikirkan tentang amalan kerja lebih cekap dan fleksibel.

Melainkan jenis bisnes anda memang memerlukan semua pekerja wajib duduk di meja masing-masing hingga habis bekerja kerana mungkin ada dokumen khas atau fail pelanggan tertentu.

4. USAH LUPA RUANG STOR

Anda juga patut memikirkan tentang ruang stor. Apakah semua kertas perlu disimpan dalam laci atau boleh disimpan secara digital atau pindahkan ke fasiliti simpanan yang lebih murah?

Secara teknikal, anda sepatutnya ada idea yang jelas tentang cara pengurusan ruang stor untuk simpan dokumen penting sebelum fikir bentuk saiz ruang pejabat atau kedai yang diperlukan.

Akhir sekali, bilik mesyuarat! Apakah anda benar-benar perlukan? Apakah ia bakal diguna 100 peratus sepanjang masa atau sekadar digunakan setakat dua hingga tiga hari dalam seminggu.

Jika tiada keperluan besar, kenapa tidak sahaja susunkan perabot di mana-mana ruang pejabat untuk boleh dijadikan secara ekspres sebagai bilik perbincangan kerja atau ruang mesyuarat.

5. FIKIR BETUL-BETUL

Perkara utama perlu dipertimbangkan awal sebelum anda memilih pejabat atau kedai adalah bagaimana anda rancang penggunaan ruang dan bagaimana anda benar-benar memerlukan.

Ruang terlalu sempit akan membuatkan staf berasa tidak selesa tetapi jika terlampau besar, anda hanya bayar lebihan wang untuk ruang yang jarang atau tidak pernah digunakan langsung.

Buatlah pilihan bijak kerana kesemua syarikat gergasi di seluruh dunia sebenarnya bermula dari ruang yang kecil sebelum berkembang maju dan akhirnya mampu memiliki bangunan besar.

Biarlah terlebih dahulu sewa premis kecil sebagai prasyarat untuk meyakinkan bakal pelanggan bahawa syarikat anda memang ada ruang pejabat atau kedai dan bukan guna alamat hantu!