Kenali nilai jenama paling hebat di dunia
Bigger.my • Mac 25, 2020
Apalah ada pada nama dan jenama? Nampak biasa, namun ia boleh menentukan harga sesuatu produk meskipun fungsi atau kandungannya hampir sama. Agak-agaknya, jenama apa paling bernilai di dunia?
Jom lihat 8 jenama paling bernilai di dunia berdasarkan analisis secara umum yang dibuat pihak majalah perniagaan ternama antarabangsa Forbes pada tahun 2018:
1. APPLE (US$182.8 bilion)
Sebut sahaja Apple, ramai yang tentu membayangkan status kemegahan apabila mampu memiliki produk keluaran jenama paling bernilai di dunia ini sama ada Macbook, iPhone atau iPod.
Antara produk lain Apple yang digunakan di seluruh dunia termasuklah iPad, Smart Watch, Apple TV, Apple Music dan iTunes. Saham Apple mula disenaraikan di Nasdaq pada 12 Disember 1980.
Apple melancarkan IPO sebanyak 4.6 juta saham dengan harga US$22 seunit ketika itu. Sahamnya didagangkan di NASDAQ Global Select Market dengan menggunakan akronim AAPL.
2. GOOGLE (US$132.1 bilion)
Sikit-sikit Google, tak tahu terus Google, betul tak? Boleh dikatakan semua orang guna enjin carian ini yang diasaskan oleh Larry Page dan Sergey Brin pada 1998. Kini Google jadi dominasi enjin carian dunia.
Ia malah dapat mengalahkan Yahoo yang usia 4 tahun lebih tua daripadanya. Google mula menawarkan IPO di NASDAQ pada 19 0gos 2004 dengan nilai US$85 seunit dan memakai nama Alphabet Inc.
Firma ini memperdagangkan dua saham iaitu GOOG dan GOOGL yang mempunyai harga berbeza. Pada 6 Jun 2018, harga saham GOOG ialah US$1,136.88 sesaham, manakala GOOGL pula US$1,146.95.
3. MICROSOFT (US$104.9 bilion)
Biasa menaip di komputer guna perisian apa? Mestilah Microsoft Office. Semua pejabat dan pemilik komputer di dunia wajib ada Microsoft Office, melainkan mereka pengguna tegar komputer Apple.
Diasaskan oleh Bill Gates yang merupakan seorang penghidap disleksia dan rakannya pada 1975, Microsoft kini disegani kerana merupakan syarikat perisian komputer paling besar di dunia.
Mula didagangkan pada 13 Mac 1986 dengan pengeluaran IPO, US$21 seunit, harga saham Microsoft kini cecah US$102.49 bersamaan 388% keuntungan sejak memasuki pasaran saham di New York.
4. FACEBOOK (US$94.8 bilion)
Ada sesiapa yang tiada akaun Facebook? Kalau anda tidak ada, anda memang sangat luar biasa sebab sekarang boleh dikatakan hampir semua orang yang ada kemudahan internet, mesti ada Facebook.
Jika tiada Facebook, ada guna Instagram. Setidak-tidaknya ada miliki aplikasi sembang Whatsapp dan komunikasi jadi lebih mudah dan murah berbanding SMS yang kena bayaran setiap kali mesej dihantar.
Semua ini dengan 1.45 bilion pengguna harian aktif, dimiliki oleh syarikat sama, iaitu Facebook Inc, diasaskan Mark Zuckerberg mengalahkan laman sosial MySpace dan Friendster yang lebih awal muncul.
Pada 18 Mei 2012, harga IPO Facebook dilaporkan hanyalah US$38 seunit namun harga seunit saham Facebook pada 6 Jun 2018 ialah US$191.34 bersamaan dengan pulangan 403.53% sejak didagangkan.
5. AMAZON (US$70.9 bilion)
Anda pernah dengar tentang Amazon? Ini bukan hutan Amazon di Brazil, tetapi merupakan pelopor platform pasar atas talian yang bermula pada 1994 dan kini sudah mempunyai lebih 30 juta pengguna.
Bagi mereka yang gemar beli belah dalam talian, pasti jadi rakan baik Amazon dan ia mula menawarkan IPO pada 15 Mei 1997 dengan harga serendah US$18 namun pada 6 Jun 2018, US$1,695.75 seunit!
Sejak didagangkan hingga kini, peratus keuntungan saham Amazon sebanyak 9,320.8%! Hampir 10,000 ganda, malah laba sebenar lebih kerana Amazon telah melakukan stock split kaunter sebanyak tiga kali.
6. COCA COLA (US$57.3 bilion)
Dicipta oleh seorang jurufarmasi, Dr. John S. Pemberton pada 1885 dengan bermula dari cuba-cuba, kini dianggarkan pengambilan harian produk keluaran Coca Cola sebanyak 1.9 bilion unit di seluruh dunia.
Ia menjadi antara jenama minuman bikarbonat paling ‘power’ bahkan saham Coca Cola tidak kurang hebatnya setelah ddagangkan di NYSE pada tahun 1919 lalu dengan penawaran IPO US$40 sesaham.
Harga kini US$43.44. Nampak seperti sedikit sahaja penambahan kerana Coca Cola pernah melakukan stock split sebanyak 10 kali iaitu 1935, 1960, 1965, 1968, 1977, 1986, 1990, 1992, 1996 dan 2012.
7. SAMSUNG (US$47.6 bilion)
Berbanding jenama lain yang berasal dari beberapa negara Mat Saleh, Samsung Electronics Co. Ltd menjadi syarikat dari Asia yang termasuk dalam senarai berprestij ini apabila didagangkan di Nasdaq.
Berasal dari Korea Selatan, Samsung aktif mengeluarkan produk elektronik dan dianggarkan kira-kira 2.5 bilion pengguna telefon pintar keluaran syarikat ini bertebaran di seluruh dunia.
8. DISNEY (US$47.5 bilion)
Jenama ini begitu sinonim dengan semua orang kerana usianya telah jangkau puluhan tahun sejak ditubuhkan pada 1923 oleh pengasasnya, Walt Disney dan begitu popular dengan rancangan hiburan.
Ini termasuk program kartun di televisyen dan taman tema yang ada banyak cawangan di seluruh dunia. Ia mula didagangkan pada 1957 dengan pengeluaran IPO berharga serendah US$13.88 ketika itu.
Namun Disney sudah melakukan 8 kali pecahan saham dalam sejarah syarikatnya dengan harga pada 8 Jun 2018 ialah US$102.47. Sama seperti saham lain yang jadi mahal, ia melakukan stock split bagi elak harga sahamnya lebih mahal.