Cara mudah buat marketing produk percuma dan berkesan

Bigger.my   •   Februari 20, 2020

Cara buat pemasaran murah dan mudah untuk peniaga

PEMASARAN dalam bidang perniagaan ialah apa sahaja tindakan yang harus dilakukan untuk menguar-uarkan produk atau perkhidmatan anda terus kepada sasaran pelanggan tertentu.

Namun ada yang keliru dengan pengiklanan waima ramai anggap bahawa pemasaran sebagai pengiklanan walhal terma pengiklanan itu adalah cuma sebahagian daripada teknik pemasaran.

Sebenarnya aspek pemasaran tidak semestinya memerlukan anda labur sejumlah wang yang banyak seperti kena upah selebriti terkenal atau sertai program berbayar di stesen televisyen.

Lainlah kalau anda memang kaya dan syarikat ada peruntukan besar yang sedia bila-bila masa untuk dileburkan begitu sahaja. Bagaimana pula kalau anda kebetulan hadapi kekangan bajet?

Apa kata gunakan 5 medium pemasaran murah ini terlebih dahulu. Buatlah hingga sukses. Jika telah berjaya, barulah boleh pasang angan bayar personaliti atau promosi di media elektronik.

1. PLATFORM MEDIA SOSIAL

Dalam urus niaga bisnes moden masa kini, agak pelik jika tidak tahu atau tidak mahu gunakan sepenuhnya potensi pemasaran ada pada media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Cara pemasaran jenama di alam maya tidak semestinya memerlukan anda untuk bekerja keras dengan mengiklankan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan sepanjang masa tanpa henti.

Sebaliknya, anda boleh jadikan media sosial sebagai platform bagi membangunkan reputasi dan meningkatkan keyakinan bakal pelanggan berpotensi terhadap produk atau perkhidmatan anda.

Bahkan, anda juga boleh menambah baik fungsi perkhidmatan selepas jualan, menilai respons dari pengguna selain berkomunikasi secara lebih cekap dengan pelanggan anda di mana-mana.

Jadi, sentiasa kemas kini akaun laman media sosial anda dan cubalah gunakan pelbagai teknik persembahan yang kreatif untuk menarik perhatian pengikut agar setia dengan jenama anda.

Cara Ini juga turut diakui oleh perdana menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada majlis perasmian pejabat Facebook di Q Sentral pada tanggal 28 Mei 2019

“Apa yang mengagumkan, 94 peratus rakyat Malaysia menemui produk dan jenama di Facebook dan dengan kira-kira 62 peratus membuat pembelian selepas penemuan itu. Sehingga Mac 2019, jumlah itu meningkat kepada 26 juta rakyat Malaysia yang aktif di Facebook,” katanya. – Tun Dr Mahathir Mohamad

2. HANTAR E-MEL BERKALA

Hampir setiap kalangan kita hari ini memiliki alamat surat elektronik atau e-mel peribadi masing-masing. Anda sebenarnya boleh juga dapat e-mel pelanggan dengan pelbagai cara dan teknik.

Antaranya menawarkan cabutan bertuah atau kad diskaun yang memerlukan pelanggan mengisi borang atau meninggalkan kad bisnes, ataupun meminta mereka mengisi borang maklum balas.

Dari sini, anda juga boleh meminta pelanggan tersebut untuk terus mendaftarkan diri mereka itu sebagai ahli menerusi e-mel di laman web rasmi syarikat atau akaun rasmi melalui media sosial.

Kenapa e-mel? Jawapannya kerana e-mel boleh dijadikan sebagai medium pemasaran yang berkesan untuk iklankan produk dan perkhidmatan anda. Kirimkan e-mel balas kepada mereka.

Ini termasuk hebahan produk atau perkhidmatan terbaharu selain rajin kongsi tip ringkas menarik kepada pelanggan setiap minggu. Tidak perlu buat hari-hari, cukup sahaja seminggu sekali.

3. REKRUT RAKAN ATAU SAUDARA JADI MODEL

Anda tidak perlu memaksa kawan atau saudara sendiri untuk menjadi ejen melainkan mereka benar-benar berminat. Apa guna mereka dilantik sebagai ejen tetapi kerja tidak berjalan, bukan?

Tetapi, jika anda dapat mengesan rakan atau saudara anda memiliki kelebihan tertentu, kenapa tidak bekerjasama dengan mereka misalnya jika ada paras rupa cantik atau kacak menawan.

Cuba tawarkan kepada mereka dengan beri insentif menarik supaya dapat pikat mereka untuk dilantik menjadi model, duta syarikat atau jurucakap kepada produk atau perkhidmatan anda.

Bayaran boleh dibuat secara sekali harung, berasaskan komisen atau apa sahaja insentif yang difikirkan sebagai situasi menang-menang kerana kaedah ini berbeza berbanding model luar.

Individu profesional ini berbayar, namun bekerjasama dengan rakan dan saudara anda adalah lebih murah dan fleksibel. Tetapi ingat, jangan ketepikan elemen profesionalisme dalam bisnes!

info pemasaran murah mudah untuk dibuat

4. KEMPEN TURUN PADANG

Ada banyak acara dan majlis dianjurkan oleh pebagai pihak setiap minggu. Anda boleh pilih tapak niaga sama ada di pasar malam, pasar pagi, pasar tani, car boot atau tapak uptown.

Anda boleh juga menyertai program atau ekspo tertentu seperti majlis perkahwinan, pesta negeri atau kebangsaan, hari sukan sekolah atau universiti waima karnival anjuran stesen TV tertentu.

Terpulang kepada anda bagaimanakah cara terbaik untuk menyertai acara dan majlis tersebut tetapi anda perlu keluarkan sedikit bajet ataupun jika cukup berani, anda terjah saja lokasi itu.

Namun bersiap sedia hadapi sebarang kemungkinan buruk misalnya tiada ruang niaga, petak disediakan tidak strategik, lokasi sempit, terdedah cuaca buruk atau risiko kurang pelanggan.

Bagaimanapun apa yang penting, turun padang ialah wadah terbaik untuk anda bersemuka terus dengan pelanggan dan lihat sendiri reaksi jujur mereka ke atas produk atau perkhidmatan anda.

5. KEMAS KINI LAMAN WEB

Jangan biarkan produk atau perkhidmatan anda hilang daripada ‘radar’ perhatian pelanggan. Selain akaun media sosial, sila kemas kini laman sesawang bisnes anda secara berkala.

Ia wajar dibuat sekurang-kurangnya dua minggu sekali agar pelanggan sedar kewujudan jenama keluaran syarikat anda. Jangan biarkan ia langsung bersawang sunyi seperti tidak ada penghuni.

Kerap aktifkan laman sesawang anda dengan apa-apa promosi, panduan ringkas bisnes atau bahan bacaan yang berkaitan jenama produk atau perkhidmatan baharu ditawarkan anda.

Selain mengekalkan ‘kesegaran’ paparan laman web, anda juga dapat menaikkan jumlah trafik kunjungan dari pelayar Internet sekali gus ia jadikan syarikat anda kekal tidak pasif bertenaga.