Trend penting Facebook sepanjang 2020 untuk lonjak bisnes
Bigger • Februari 12, 2020
TAHUN 2020 dianggap mustahak kerana dijangka banyak trend baharu menerusi media sosial Facebook atau FB yang bakal mampu lonjak prestasi operasi bisnes di seluruh dunia.
Ini ditambah pelbagai acara besar akan berlangsung antaranya temasya terbesar Olimpik Musim Panas 2020 di Tokyo, Jepun dan kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS).
Pihak FB dijangka ada pelan tersendiri apabila pentadbir platform itu bakal lancar rekaan semula versi kelima atau FB5 selain beberapa inovasi terbaharu bagi rangsang pengiklanan maya.
Berikut antara trend penting wadah sosial tersebut yang akan mewarnai 2020:
1. Peralihan kepada saluran peribadi
Isu ini ada disentuh bos FB, Mark Zuckerberg dalam satu persidangan antarabangsa tahun lalu dengan beliau jangka berlaku pertambahan dua kali ganda peralihan tersebut mulai 2020.
Persekitaran sosial digital bakal berbeza dalam tempoh lima tahun dan interaksi peribadi akan bantu FB sendiri wujudkan komuniti maya kecil yang lebih diperlukan terutama bisnes mikro.
Situasi ini telah berlaku dan FB sudah mula beri keutamaan saluran peribadi seperti Messenger serta aplikasi rangkaiannya iaitu WhatsApp dan Instagram lengkap ada penapis ‘Rakan Karib’.
Kebetulan banyak jenama perniagaan dilapor catat kejayaan menerusi akaun Instagram peribadi dan FB tidak ketinggalan lancar Group for Pages pada 2017 sebelum perkenal Private Group.
2. Reka semula berteras kumpulan
Pihak pentadbir FB dijangka perhebatkan FB5 dengan tumpu Facebook Groups sebagai teras platform kerana buat masa ini, hanya segelintir diberi akses kepada format baharu wadah ini.
Antara kelebihan versi kelima yang telah diperkenalkan pada April tahun lalu ialah permudahkan untuk pencarian kumpulan baharu dan suapan peribadi segala paparan aktiviti dari ahli grup.
Proses kemas kini berkumpulan juga boleh dipaparkan lebih kerap melalui News Feed dan ini beri manfaat luas kerana ada 1.4 bilion pengguna aktif Facebook Group di seluruh dunia.
Ciri-ciri baharu ini juga pelengkap komuniti berbeza misalnya kumpulan sokongan kesihatan yang berkongsi maklumat sensitif dengan pelbagai grup bagi kebaikan semua pihak.
3. Naik taraf Messenger dari pivot ke desktop
Kaedah penyampaian informasi melalui wadah mudah alih masih digemari ramai orang bahkan fakta membuktikan sekitar 94 peratus hasil sumber pengiklanan datang dari platform sebegini.
Justeru, pihak FB telah mula menjadikan peranti kecil atau pivot kepada komputer mudah alih atau desktop dengan umum pelancaran aplikasi ini untuk Messenger selain ujian versi beta.
Bahkan awal bulan ini, pihak Instagram turut dedah akan mula uji khidmat mesej langsung menerusi desktop yang miliki ciri sama seperti aplikasi telefon pintar tetapi format baharu.
Messenger Desktop ini ada panggilan video berkumpulan dan gabungan banyak ciri untuk sokong peralihan kepada cara peribadi seumpama Facebook Workplace atau Tik Tok.
4. Tiada lagi hitungan suka?
Hal ini sudah diumumkan oleh pihak FB sekitar September tahun lalu susulan beberapa ujian terhadap Instagram bagi mansuh ‘kegilaan’ mahu raih banyak tanda suka di seluruh dunia.
Maklum balas setakat ini adalah positif dan penghapusan jumlah tanda suka kalangan netizen melalui dua platform media sosial yang popular itu sebenarnya ada banyak kesan positif.
Mungkin agak awal untuk dakwa pemansuhan tanda suka beri kesan kepada bisnes popular apabila netizen tidak tahu jumlah pengguna media sosial yang tertarik kepada perniagaan itu.
Namun, ia beri kelebihan kepada jenama baharu naik di pasaran kerana berlaku persaingan adil dengan nama bisnes hebat yang telah bertapak lama bagi rebut pelanggan terpedaya info palsu.
5. Format iklan dipacu AR dan VR
Facebook sudah lama sedar kelebihan kaedah pengiklanan format dinamik secara realiti maya (virtual reality) dan realiti luasan (augmented reality) yang menguntungkan promosi bisnes.
Hasil kajian dapati lima daripada sembilan responden kajian Facebook akui cara moden ini boleh tingkat kesedaran pengguna kepada jenama berbanding pengiklanan video konvensional.
Justeru, pengiklan sebenarnya boleh cipta dan terbit promosi diri mereka sendiri melalui AR effect di Facebook atau Spark AR Studios di Instagram kerana ia mudah tarik pelanggan.
Jenama disiarkan menerusi kaedah ini juga boleh tapis dan perluaskan pengalaman bakal pelanggan apabila netizen dapat cuba secara maya produk ingin dijual sebelum membelinya.